Friday, January 2, 2015

KETEPIKAN ASOBIYYAH POLITIK - DOAKAN HUDUD DEMI ISLAM

Habis meroyan orang yang mindanya taksub dengan ideologi politik kepartian apabila kami ulas tentang pendapat Marina Mahathir yang berharap agar Hudud tidak diluluskan perlaksanaannya di Kelantan. Hudud memecah belah dan tidak adil katanya. Kami kaitkan kenyataan Marina dengan pendirian ayahnya yang juga banyak sekali mencari alasan untuk tidak menyokong hudud dilaksanakan.

Kita dikurniakan pendengaran, pengelihatan dan intelek akal untuk menimbang apa yang selama ini kita dengar dan kita lihat. Tidak menolak tetapi tidak menyokong Hudud itu membawa maksud yang sama sahaja. Jika deraf Hudud PAS tidak lengkap, sepatutnya kita sama-sama pakat bantu untuk mencari jalan melengkapkannya, bukan ‘membuli’ dan menyulitkan usaha perlaksanaan itu. Selama ini macam-macam polisi dan akta telah di'paksa' tanpa menunggu rakyat faham dan setuju pun. Kenapa tidak begitu pada hudud?

Kenyataan anak beranak itu sejak dulu semacam tidak pernah berubah. Ini menunjukkan mereka tiada usaha untuk menuntut ilmu tentang Hudud. lebih 20 tahun Tun memerintah. Kalau mahu, ada cukup masa untuk laksanakannya, sekurang-kurangnya usaha mendidik rakyat dan pegawai kerajaan tentang hudud agar difahami. Adakah masih mereka dikatakan jahil walhal peluang untuk mereka mentelaah ini ada? Jelas mereka memang sebenarnya tidak mahu. Itulah keingakaran.

Pencerahan oleh Ustaz Kazim Ilyas yang kononnya telah bertanya 4 mata dengan Tun menjadi buah pelepas dan dijaja macai di sana sini. Kita bersangka baik dengan Ustaz Kazim. Cuma ia belum cukup telus dan meyakinkan kerana ia ada kaitan dengan politik. Iaitu setelah beliau masuk UMNO baru keluar kenyataan itu untuk menolak tohmahan politik rakyat terhadapnya. Beliau harus juga tanya Tun, apa yang telah diusahakan untuk menegakkan Hudud sewaktu pemerintahannya? Tidakkah Nabi SAW mampu tegakkan Islam dari sifar sampai sempurna dalam jangkamasa yang sama dengan pemerintahan Tun? Jika mahu, kita seharusnya boleh buat lebih cepat dari itu kerana petunjuk sudah ada.

RPWP TIDAK PARTISAN.

Sebagai makhluk yang bersifat baharu, tiada siapa yang sempurna, baik PAS mahupun UMNO. Apatah lagi individu tertentu secara peribadi. Apa yang UMNO, BN atau YAB PM buat baik, kami kata baik. Apa yang buruk atau tersilap maka kami katakan kesilapannya untuk sama-sama mencari jalan memperbaikinya agar kelihatan adil dan tidak bersifat asobiyyah.

Selalu juga kami poskan kebaikan dan jasa Tun Mahathir dan pihak kerajaan sebelum ini. Tetapi biasalah, waktu kami poskan kebaikan PAS, orang UMNO naik sawan. Bila kami pos kebaikan PM, orang PR pulak naik sawan. Inilah kelemahan ketara politik kepartian, demokrasi pecah belah tajaan Barat yang sangat asobiyah dan memualkan. Kelmarin bila kami poskan kesilapan Tun yang banyak kali membuat kenyataan yang bersifat tidak menyokong perlaksanaan Hudud di Kelantan, maka ramailah macai yang sawan.

Bukalah mata sedikit sahaja, tidak perlu banyak-banyak. Tetapi buka hati seluas mungkin. Dari gambar hiasan juga boleh anda nilai samada kami ini partisan atau tidak. Ada pula yang kata kami talam dua muka. Satu hal pula nak kena ajar puak-puak macai ini apa bezanya fanatik dan assobiyah, berbanding dengan talam dua muka, atau atas pagar.

BEZA FANATIK, ASOBIYYAH, TALAM DUA MUKA DAN ATAS PAGAR

FANATIK dan ASSOBIYAH adalah satu KETAKSUBAN, pendirian dan sokongan yang membuta tuli menyokong idola kita. Yang salah dikatakan betul dan yang betul pun boleh dikatakan salah. Habis dicari berbagai alasan untuk membenarkan dakwaan kita. Ia tidak lain hanya menjadikan kita jumud dan mudah diperbodohkan oleh idola kita. Umat jadi berpecah belah dan sentiasa tegang.

TALAM DUA MUKA ialah golongan yang suka mengambil kesempatan dan mengadu domba. Di pihak sini dia kata yang sana buruk, pergi sana dia kata sini buruk. Semuanya bertujuan untuk memecah belah dan dia pula menenggek meraih keuntungan.

GOLONGAN ATAS PAGAR ialah golongan yang tidak menyokong atau memusuhi mana-mana pihak. Mereka sokong hanya yang terbaik dan ikhlas menegur kesilapan kedua-duanya. Mungkin kerana masih melihat masing-masing ada lebih dan kurangnya. Inilah golongan yang neutral dan waras.

ANTARA EKSTRIMIS, ISLAM KAFFAH, WASOTIYYAH, MUNAFIK DAN KAFIR

Dalam soal agama juga begitu. Ada bezanya antara golongan ekstrimis dengan golongan yang mahukan Islam secara kaffah (sepenuhnya), berbanding dengan golongan munafik dan kafir yang sentiasa mempermainkan atau mengingkari perintah agama.

EKSTRIMIS adalah orang yang berlebih-lebihan dan melampaui batas dalam urusan agama. Kebanyakannya berbuat ikut-ikutan tanpa ilmu. Contohnya, berjihad sampai ke peringkat membunuh diri, berselisih pendapat sampai menderhakai orang tua, guru, pemimpin dan sebagainya. Solat sampai tak tidur sepanjang malam dan esoknya tidak pergi kerja. Puasa saban hari sampai tubuh lesu lalu terpaksa minta sedekah kerana tidak kuat bekerja. Ini semua menjurus kepada kesesatan dan kemusnahan.

Yang Allah mahukan ialah sifat adil dan pertengahan (WASOTIYYAH) terhadap Allah dan manusia dengan melaksanakan aturanNya secara KAFFAH (kesemuanya). Patuhi segala perintah Allah dengan ilmu, sesuai dengan keperluan perlaksanaan di waktu yang sesuai. Semua yang 'wajib' kita kerjakan tanpa berlebih-lebihan, tepat perlaksanaannya dan mampu memberi hasil yang baik. Yang haram pula kita tolak semuanya tanpa banyak alasan. Itulah KAFFAH (QS:2/208) dan WASOTIYYAH (QS;2/143).

MUNAFIK pula golongan Islam yang palsu. Ia sepadan dengan golongan talam dua muka secara sosiologi. Islam tidak, kafir pun tidak. Nak dikata Islam, tabiat kafir pun dia buat juga. Nak kata tidak Islam, amalan Islam pun dia buat juga (QS:2/208). Contoh yang paling jelas termasuklah dalam menetapkan pendirian tentang hudud itu sendiri. Mengaku Islam tapi menggunakan hukum jahiliyah (QS:5/50).

KAFIR disisi Allah pula telah jadi kekeliruan pada umat Islam ketika ini. Kita banyak menggelar orang bukan Islam itu sebagai kafir. Sebenarnya KAFIR itu bermaksud INGKAR. Ia khusus bagi seseorang yang akil baligh, berakal dan mampu menyampaikan apa yang dia faham dengan jelas, tetapi masih juga tergamak mengingkari ketetapan yang telah dia fahami dengan jelas.

Perbuatan meminum arak, berzina, rasuah, mencuri, amalan riba’, judi, membunuh dan sebagainya jelas tidak baik. Oleh itu, wajarlah Islam sebagai agama yang baik melarang sesuatu yang tidak baik. Namun ia mungkin dibenarkan oleh agama lain. Samada kerana agama itu kurang baik, atau penguatkuasaan pengikut mereka juga sama seperti kita, iaitu tidak sudi melaksanakan tuntutan agama mereka (kerana banyak juga agama yang kononnya melarang semua itu).

Jika kita selaku umat Islam yang jelas sudah tahu dan sedar akan semua larangan agama kita namun masih melakukannya juga, maka itulah KAFIR (INGKAR) yang sebenar-benarnya (kafir haqqon /hakiki). Itu yang Nabi SAW katakan "di akhir zaman umat baginda akan berimat malamnya, tapi kafir esok paginya". Di sisi Islam, Non-Muslim itu jahil, memang tidak tertakluk kepada hukum Islam kerana mereka tidak tahu atau memang tidak mahu.

TIDAK ADIL HUDUD HANYA UNTUK ORANG ISLAM?

Sekarang timbul isu kononnya hudud tidak adil kerana hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja. Sila jawab dengan jujur jika anda memang orang yang mahukan kesejahteraan. Anda suka semua orang Islam berterusan melakukan semua dosa yang tersenarai itu lalu umat ini punah hari demi hari? Atau anda mahu satu kaedah pencegahan dan penguatkuasaan melalui 'Hududullah' ini lalu dalam sedikit masa semua umat Islam berhenti melakukan apa yang boleh memusnahkan generasi kita?

Semua itu tidak mustahil. Ia pernah berlaku ketika Pemerintahan Abasiyyah. Penjara besar tapi tiada penghuni. Kami yakin anda juga mahu melihat generasi Islam sihat walafiat tanpa zina dan buang bayi, tanpa dadah dan HIV, tanpa berbunuhan, rampok merampok dan 1001 macam nikmat dari pembaikan akhlak dan gejala sosial yang menghantui kita sekarang ini. Betul atau tidak sila jawab saja dalam hati. Kecuali anda sendiri memang penjenayah dan pendosa.

Bukankah kita ini orang Islam? Bukankah Islam itu sejahtera? Bukankah Hudud itu Allah yang ciptakan untuk membantu kita agar hidup sejahtera? Jadi mengapa ditolak atau dilengah-lengahkan? Itu maknanya kita memang zalim terhadap generasi dan diri kita sendiri. Kita sengaja mahu hidup sengsara dengan segala akibat dari hawa nafsu kita yang tidak terkawal melalui semua perundangan yang kita cipta sendiri.

Jika sekalipun benar perlaksanaan Hudud itu memang untuk orang Islam, seharusnya kita berbangga dan bersyukur kerana generasi kita akan bebas dari jenayah dan segala macam gejala sosial yang memusnahkan. Ini kerana jenayah ini adalah tabiat syaitan laknatullah yang berbentuk HABIT dan ketagihan. Sekali terlepas ia akan diulangi lagi dan lagi. Kerana itu perogol itu biasanya ‘bersiri’.

Kerana itu, jika adapun pembunuh, perompak bersenjata atau perogol yang berjaya dikesan lalu dihukum bunuh sekalipun, biarlah ia terima nasibnya. Jika ada seorang dua peragut atau pencuri yang dipotong tangannya pun biarlah ia jadi pelajaran. Jika tidak, mereka tidak akan serik lalu semakin hari semakin ramai yang menjadi mangsa. Mengapa tidak kita fikirkan nasib RAMAI mangsa yang terbunuh berbanding nasib SATU penjenayah? Sukakah kita melihat anak bangsa terhoyong hayang berkeliaran akibat dadah dan HIV? Sukakah melihat kes buang bayi saban hari?

Kami yakin bila kesejahteraan pada umat Islam dapat dilihat dari kesan Hudud ini, akhirnya non-Muslim juga akan minta dilaksanakan atas mereka. Bukankah semua manusia inginkan sejahtera?

KONFLIK ISTILAH – JAHILIYAH, MUNGKAR, HUDUD & HAD

Apabila kami sebut JAHILIYAH maka ramai yang melompat. Padahal jahiliyah itu sekadar satu kenyataan atau kelakuan yang dibuat secara jahil, tanpa ilmu. Sama juga jumudnya bila disebut KAFIR, KUFUR, MUNGKAR. Padahal semua itu hanyalah satu perbuatan yang mengingkari arahan. Tak apa disebut si polan itu ingkar, tapi jangan cakap dia kafir, kononnya terlalu keras. Samalah cara kita memanjakan diri dengan istilah yang menafikan perintah Allah. Berzina cuma digelar bersedudukan atau terlanjur untuk menyedapkan hati.

Dalam banyak hal, percakapan harian kita juga banyak menampakkan kejahilan. Terutamanya para pemimpin atau pembaca khutbah yang berucap menggunakan teks. Begitu juga keyboard warrior, khasnya generasi muda yang suka menghujat pihak yang tidak disukai dengan penuh nafsu, hasad dengki dan beremosi. Tidak ubah seperti tong kosong atau nyamuk yang membuat bising sahaja.

Atas kejahilan itu jugalah setiap hari kita dengar kenyataan dan perbuatan mungkar tanpa disedari. Ini dipanggil KAFIR JAHILIYAH, sama seperti Non-Muslim yang bercakap soal agama. Tidak mengapalah keingkaran seperti itu kerana Allah tidak akan menghukum hambanya lantaran kejahilan. Yang lebih malang ialah banyaknya kekafiran kita yang lebih nyata, iaitu mengingkari secara sedar sesuatu yang jelas kita tahu hukum hakamnya. Inilah kafir haqqon dan munafik. Jangan dibuat main-main kerana Allah tak akan terima taubat puak ini (QS:4/17-18).

QS: 4. An Nisaa' 145. “Sesungguhnya orang-orang munafik itu pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu SEKALI-KALI TIDAK akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka.

Mustahil di Malaysia ini ada lagi umat Islam yang tidak tahu menutup aurat itu wajib, atau zina itu haram, khususnya orang dewasa yang sudah berkahwin. Demikian juga haramnya arak, judi, mencuri, membunuh dan lain-lain.

Ironinya, kita lihat kini kadar zina sudah sampai ke tahap ‘satu nafas satu zina’. Kehamilan luar nikah yang menjurus kepada pengguguran haram dan buang bayi tidak terhitung banyaknya. Jumlah bayi tidak sah taraf yang berjaya diselamatkan dan didaftar dalam beberapa tahun kebelakangan ini sahaja sudah melebihi muatan penuh 3 Stadium Bukit Jalil.

Kes ragut dan rompak bersenjata sudah ke tahap amat nekad dan membimbangkan. Tidak kira siang mahupun malam, tersembunyi atau di depan orang ramai. Siapa pun siap untuk jadi mangsa termasuk anak isteri pegawai polis. Inikan pula wanita, kanak-kanak dan warga emas yang tidak berdaya. Harta anak yatim dan masjid pun sudah banyak jadi mangsa. Tak larat kami nak buat lapuran polis.... Sedih bukan?

Teramat pilu melihat begitu ramai warga emas dan ibu tunggal mangsa rompak yang kami lawati. Mereka menceritakan pengalaman ngeri sampai menggeletar dan semput ketakutan bercampur kesal. Ada yang memilih untuk meninggalkan rumah tinggalan arwah suami dan pindah menumpang di rumah kebajikan atau anak-anak akibat ketakutan setelah berkali-kali jadi mangsa rompakan bersenjata.

HUDUD juga kita sempitkan sekadar HUKUMAN tanpa toleransi. Bila sebut sahaja hudud, semua melompat tanpa ilmu dan akal. Padahal Hudud juga adalah kaedah pendidikan dan pencegahan bagi menyekat kerosakan manusia. Hukuman pula hanya untuk penguatkuasaan. Malangnya kini manusia yang lemah dizalimi, yang berkuasa dipuja puji. ‘Double standard’ menjadikan hukum manusia boleh diputar belit, akta disalahguna dan kuasa dimanupulasi kerana politik. Di mana keadilan jika kita SEMUA tidak sama-sama kembali merujuk perlembagaan Allah?

KESIMPULAN

Sewaktu perbincangan hati ke hati dengan YAB MB Kelantan baru-baru ini, kami tersentuh dengan rintih beliau. “Jangan bantu kami menjayakan Hudud kerana PAS, bantulah ia kerana Allah dan Islam”. Kami yakin YAB PM dan pihak-pihak lain juga boleh dilembutkan hatinya jika boleh berbincang dengan berlapang dada. Ketepikanlah dahulu perbezaan politik kita demi Allah. Mari jadikan hudud sebagai batu penimbang yang menyatukan kita. Alangkah indahnya jika banyak ceramah, banner, iklan tv dan rencana yang bertali arus bagi meyakinkan manusia tentang hudud selepas ini. Belanja konsert dan pesta boleh disalurkan untuk tujuan itu.

Ini adalah seruan agama, bukannya seruan politik. Kami tujukan kepada yang masih ‘keberatan’ untuk hudud. Bukan sahaja di kalangan UMNO, BN mahupun Pakatan Rakyat, malah di kalangan PAS sendiri juga masih ada yang tidak bersungguh-sungguh dengan hudud ini. Marilah sama-sama berganding bahu, bantu apa yang perlu untuk menjayakannya. Jadikan ini satu cita-cita utama setiap diri demi mendapatkan kembali redha Allah terhadap kita.

Berhentilah dari bersikap seperti keldai yang memikul kitab (QS:62/5). Ulamak lebih teruk lagi kerana telah membaca dan memahami, tetapi tidak melaksanakan apa yang dibaca. Allah tak pandang malah benci kepada kita (QS: 5/68). Jika ilmu itu diibaratkan seperti air yang mengalir dari atas ke bawah, maka rendahkanlah ego kita agar ilmu mudah mengalir. Namun terlalu banyak minum tanpa bekerja dan mengeluarkan peluh melaksanakannya juga akan menyebabkan kita banyak kencing. Jadilah kita ‘kaki kencing’ yang hanya tahu menipu manusia nanti.

Ingatlah, tanpa melaksanakan hukum yang diturunkan Allah maka kita jadi kafir (QS:5/44), zalim (QS:5/45) dan fasiq (QS:5/47,49). Ini ketetapan hukum Allah, bukan kami yang kata atau menghukum. Dahulu kita jahil dan telah lama mencuba-cuba menetapkan hukum yang berubah-ubah walaupun sentiasa gagal. Sampai bila harus terus jahil dan gagal?

QS: 5. Al Maa'idah 50. Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan siapakah yang lebih baik daripada Allah bagi orang-orang yang yakin ?

Sekian lama kita KUFUR nikmat. Ada NIKMAT ilmu dan petunjuk dari Allah yang mampu menjadikan kita hidup sejahtera namun kita INGKARI. Cukup lama kita MENZALIMI diri dan anak cucu. Kita hidup sengsara di tengah-tengah gejala sosial dan jenayah yang berleluasa akibat dari keengganan kita melaksanakan hukum yang terbaik dari Pencipta kita. Iman kita PALSU kerana melafazkannya tanpa keyakinan secukupnya sehingga sanggup menidakkan hudud Allah. Itulah FASIK namanya (Muslim / Mukmin yang palsu).

“Ya Allah Ya Tuhan kami. Saksikanlah seruanmu yang cuba kami sampaikan ini. Janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Allah, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Ma'afkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

WARGA PRIHATIN

http://prihatin.net.my/…/mahathir-bergadai-nyawa-meletak-m…/
http://prihatin.net.my/…/lagenda-dawn-raid-1981-menggegark…/
http://prihatin.net.my/…/kita-semua-sama-saja-satukanlah-k…/
http://prihatin.net.my/…/kesusahan-mematangkan-perdana-men…/
http://prihatin.net.my/…/nilai-sekuntum-senyuman-berbuka-p…/
http://prihatin.net.my/…/buka-puasa-bersama-pmo-satu-persa…/
http://prihatin.net.my/…/doa-buat-pm-idea-penyatuan-menuru…/
http://prihatin.net.my/…/kisah-benar-hakikat-mengherdik-an…/
http://prihatin.net.my/…/sistem-pendidikan-islam-sepanjang…/
http://prihatin.net.my/…/yab-pm-akui-rpwp-adalah-model-ent…/
http://prihatin.net.my/…/saranan-penyatuan-rumusan-perjump…/
http://prihatin.net.my/…/kekangan-sistem-pendidikan-merugi…/













Like · · Share


https://www.facebook.com/wargaprihatin/posts/10153432135507786:0Bottom of Form


No comments:

Post a Comment