Tinta pena telah mengering, lembaran-lembaran sebuah takdir juga telah tersimpul kemas di dalam ilmu Allah yang Maha Luas. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Hadid, ayat 22 :
“ tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum kami menjadikannya…”
Kerana yang demikian itu, janganlah kita merasa gundah dan bersedih hati lantaran ujian yang ditimpakan ke atas diri kita. Sesungguhnya setiap musibah atau kejadian itu, terlebih dahulu telah dicatat di dalam takdir Allah.
“… tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami…” surah At-Taubah ayat 51.
Pernahkah anda terfikir bahawa ujian itu adalah untuk meninggikan martabat seorang abid di sisi Tuhannya serta meningkatkan pahala juga dosa diampuni jika ujian itu dilalui dengan solat dan sabar.
Saraf-saraf anda akan tetap tegang, kegundahan jiwa tidak akan pernah reda, dan kecemasan di dada tidak akan pernah sirna selagi mana anda tidak beriman dengan qada’ dan qadar Allah S.W. T.
Maka, bersabarlah. Akan tetapi, perlu diketahui bahawa anda tidak mampu bersabar kecuali atas pertolongan dan taufiq dari Allah. Sesungguhnya, pertolongan akan datang setelah kesabaran, kelapangan akan datang setelah kesusahan dan kemudahan akan datang setelah kesulitan. Ia tercatat dengan pena di atas lembaran Illahi dalam surah Al-Insyirah ayat 6 berbunyi :
“ sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan…”
Lantaran yang demikian, marilah kita memetik buah-buah kesabaran dan mengambil isinya (hikmah) untuk dijadikan sandaran agar anda mampu bersabar. Antara hikmah ujian seperti yang dinukilkan oleh Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni dalam bukunya ‘La Tahzan’ :
1) Untuk memunculkan bentuk ibadah yang berupa doa, yang sebelumnya tidak pernah nampak. Seseorang berkata : “Maha Suci Dzat yang telah memunculkan doa hambaNya dengan cara memberikan ujian.” Allah berfirman kepada malaikatNya : “tujuannya adalah agar Aku mendengar suaranya”.
2) Untuk meredakan nafsu manusia yang cenderung melampaui batas.
3) Untuk membangkitkan kesedaran manusia untuk menyayangi dan mendoakan orang yang ditimpa musibah.
4) Untuk menunjukkan adanya nikmat yang nilainya jauh lebih besar daripada musibah itu sendiri dimana sesiapa yang ditimpa musibah akan diberi ampunan atas dosa-dosanya dan akan diberikan pahala daripada Allah S.W.T.
Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud :
“… sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang akan dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”
Lantas, apa lagi yang diinginkan oleh seorang abid melainkan keampunan dan pahala yang terbaik di sisi Rabb-nya? Atau adakah anda masih ingin menyoal Rabb mengapa anda ditimpa musibah, mengapa dan mengapa?
Justeru, lembaran pena ini ingin melabuhkan tirainya dengan sebuah persoalan yang perlu kita sama-sama mencari jawaban agar kita menjadi manusia yang berfikir.
“ maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” (Surah Ar-Rahman ayat 13)
Atikah binti Abu Bakar
(Biro Tarbiyah Pembina Melaka)
No comments:
Post a Comment